Tablet Baru Microsoft Sesuai untuk WFH

Sebuah tablet baru diperkenalkan Microsoft yang dicadang untuk menampung kerja harian bagi golongan profesional, mula dijual sejak 15 Januari lepas.

Microsoft Surface Pro 7+ ditawarkan pada harga bermula daripada RM4,115  yang menyediakan pilihan LTE Advanced kepada perniagaan kecil dan sederhana dan organisasi terbesar untuk pekerja yang memerlukan sambungan Internet di rumah dalam keadaan lebar jalur Wi-Fi yang terhad atau daripada lokasi jarak jauh. 

Surface Pro 7+ juga dilengkapi dengan Pemproses Intel Core Generasi Ke-11, dengan prestasi 2.1 kali lebih pantas dan hayat bateri lebih lama sehingga 15 jam. 

Peranti ini menawarkan ciri serba guna yang diperlukan oleh warga kerja untuk bekerja di mana sahaja, pada bila-bila masa mengikut kemahuan mereka. Di samping itu, dengan menyediakan kedua-dua pangkalan USB-A dan USB-C, Surface Pro 7+ boleh dihubungkan kepada skrin luar dan memanfaatkan alat sokongan yang ada untuk mewujudkan stesen kerja lengkap. 

Microsoft juga telah menggabungkan kamera depan dan belakang ke dalam Pro 7+ dengan video HD penuh 1080p serta speaker Dolby Atmos dan dua Mikrofon Studio medan jauh supaya pengguna boleh dilihat dan didengar dengan jelas. 

Surface Pro 7+ boleh didapati dalam pembungkusan komersil lestari yang ringan iaitu  23% lebih ringan daripada generasi terdahulu dan diperbuat daripada 99% bahan berasaskan serat semula jadi, mengandungi bahan kitar semula yang pernah digunakan. Usaha terbaharu ini juga mencerminkan komitmen berterusan Microsoft ke arah kelestarian. 

Surface Pro 7+ dengan konfigurasi Wi-Fi boleh didapati bermula pada harga RM4,115, manakala pilihan dengan sambungan LTE Advanced bermula pada harga RM5,314. 

Surface Pro 7+ buat kali pertama dipasang dengan ciri-ciri keselamatan Windows Enhanced Hardware Security, yang sedia terpasang. Peranti boleh diuruskan dan dikemas kini menerusi cloud dari saat alat dihidupkan dan sepanjang kitaran hayat peranti ini tanpa memerlukan sentuhan fizikal kakitangan bahagian IT. Pelanggan boleh menggunakannya dengan fikiran tenang kerana dilindungi dengan tahap keselamatan yang tinggi tanpa menjejaskan pengalaman kakitangan atau pelajar. 

Microsoft telah melakukannya menerusi penyepaduan lancar antara UEFI (BIOS moden), perisian untuk perkakas, dan susun atur sistem operasi Windows, dan telah berkongsi pelaksanaan Microsoft UEFI sebagai sistem sumber terbuka pada GitHub dalam Projek MU.

Surface juga akan menggunakan keupayaan penyebaran terkini Microsoft seperti Windows Autopilot untuk membolehkan peranti dihantar terus dari kilang ke rumah pelanggan dan sedia untuk digunakan dengan dasar keselamatan, aplikasi dan penetapan yang tersedia. Windows Autopilot memastikan pengguna boleh melayari Internet, berhubung dan bekerja secara produktif secepat mungkin dan mengenepikan keperluan untuk merangka peranti secara manual dan pengimejan semula oleh jabatan IT yang mengambil masa. 

Akhir sekali, Microsoft menyedari betapa penting bagi pelanggan untuk mengawal data masing-masing. Surface Pro 7+ juga akan menyediakan SSD boleh ditanggalkan untuk penyimpanan data, bagi menyokong keperluan keselamatan dan privasi organisasi komersial dan pendidikan. Ciri-ciri ini menggabungkan perlindungan Microsoft BitLocker, memudahkan pelanggan untuk menyimpan data sensitif jika sesuatu berlaku kepada peranti mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami