Reviu : Ada apa dengan Xiaomi Mi 9T?

Pada tahun lepas telah menggegar pasaran dengan kemunculan Poco F1 sehingga lahirnya PocoFag dengan zikir #BaikBeliPoco. Pergi mana-mana laman web atau Facebook, zikir #BaikBeliPoco akan berkumandang dengan meriah setiap kali ada phone lain dilancarkan.

Pada 10 Januari, Redmi secara rasminya telah menjadi jenama subsidiari dan entiti asing yang tidak lagi menggunakan penjenamaan Mi. CEO Redmi telah memberi petanda akan munculnya satu peranti kelas atasan (flagship) dari Redmi sendiri. 

Setelah berbagai teka-teki, akhirnya Redmi K20 Pro dan Redmi K20 dilancarkan pada bulan Mei 2019. Redmi K20 Pro dilengkapi cip pemproses Snapdragon 855 yakni yang terbaik dalam kelasnya. Manakala Redmi K20 dilengkapi cip pemproses Snapdragon 730 juga yang terbaik dalam kelas pertengahan. Menjadi tanda tanya mengapa Redmi K20 dijenamakan sebagai Mi 9T di pasaran global. Adakah Redmi K20 Pro akan dijenamakan sebagai Mi 9T Pro atau sebagai Poco F2?

Saya telah menggunakan Mi 9T sebagai peranti utama saya selama lima hari sebelum ulasan ini disiapkan. Kita akan ulas dari lapan sudut iaitu dari Kualiti BinaanPrestasi, Kamera, Bateri,  Pengimbas Cap Jari, Paparan dan akhir sekali Harga. 

Binaan

Pertama sekali bila pegang peranti ini, impresi pertama adalah berat. Berat yang mewah, bila kita pegang, berat peranti akan tertumpu pada tengah sampai ke bawah. Sangat sedap untuk dipegang. Menarik perhatian adalah butang kuasa berwarna merah. Nampak macam cuba imitasi rekaan Google Pixel.

Jangan lupa peranti ini masih dilengkapi bicu audio 3.5mm. Saya mendapat set Carbon Fiber Hitam, tak ada tekstur berapi yang terdapat pada warna biru dan merah. Jika sukakan rekaan yang lebih seksi, boleh pilih merah atau biru. 

Prestasi

Bila cakap pasal prestasi, saya akan bandingkan dengan Google Pixel 2 iaitu peranti utama saya sebelum ini. Saya tak mengalami sebarang masalah selama masa yang kritikal semasa menggunakan peranti ini. Saya dapat bermain PUBG Mobile pada mode HD+High dan juga Smooth+Ultra. Prestasi peranti ini sewaktu permua (permainan mudah alih) sangat-sangat memuaskan. 

Snapdragon 730 adalah cip pemproses terbaik dalam kelas pertengahan. Ini bukan Snapdragon 670 yang digunakan pada Google Pixel 3A, sebaliknya ini adalah cip pemproses kelas pertengahan terbaik yang dilengkapi Qualcomm Adreno 618 untuk pengalaman permua lebih lancar.

Kamera

Bahagian kamera pula, ia mempunyai 3 lensa kamera. Satu, 8 megapiksel telephoto. Kedua, 48 megapiksel kamera utama. Lensa ketiga pula adalah 13 megapiksel kamera sudut lebar (ultra wide). Bila kita ambil gambar pada pencahayaan yang baik, semua kamera pada telefon sekarang akan mendapat gambar yang elok dan jelas.

Cabaran utama adalah bila ambil gambar pada pencahayaan yang kurang, gambar malam atau gambar dalam bangunan. Di sini Mi 9T wajar diberi tepukan, kualiti gambar yang terhasil adalah boleh dikatakan A- . Masih tak boleh lawan Raja Kamera iaitu Google Pixel tetapi dengan harga yang ditawarkan, kamera ini jauh melebihi jangkaan saya. 

Secara jujurnya saya tak mengharapkan kamera pada Mi 9T ini bagus. Sebab dari zaman Mi3 sehinggalah Mi8, kamera pada peranti kelas atasan Xiaomi hanya biasa-biasa sahaja. Selalunya gambar kulit menjadi lembut (soft), selfie nampak palsu tetapi masalah ini tak timbul pada Mi 9T. Harus diingat yang saya adalah pengguna tegar Pixel, dan saya berpuas hati dengan kualiti kamera ini. Kudos kepada Xiaomi!

Kamera hadapan jenis pop-naik ini saya sedikit skeptik. Kita tak tahu berapa lama sampai kamera bermotor ini akan “give up” dan berhenti berfungsi. Ini adalah kamera pop-naik pertama dari Xiaomi. Saya percaya apa sahaja yang bermotor akan rosak juga. Kita perlu tunggu dan lihat sejauh mana ketahanan kamera pop up ini. 

Pengimbas Cap Jari

Saya bukanlah peminat pengimbas cap jari di bawah skrin, teknologi cap jari ini masih belum matang. Berdasarkan tempoh saya menggunakan peranti ini, berpuluh kali cap jari saya gagal dibaca. Ia macam hit and miss, kalau berjaya bagus, kalau tak berjaya kena cuba lagi. Namun, kelajuan pengimbas cap jari ini jauh lebih laju dari yang ada pada OnePlus 6T. Saya percaya sistem ini masih boleh ditambah baik.

Paparan

Paparan pula adalah antara yang menjadi kegemaran saya. Skrin AMOLED yang sangat cantik, sesiapa yang pakai AMOLED memang akan menghadapi masalah untuk kembali ke LCD kerana AMOLED sangat cantik. Dilengkapi Always On Display iaitu paparan jam dan notifikasi yang sentiasa terpasang. Jangan risau kerana AOD ini tidak menggunakan bateri yang banyak dan masalah skrin terbakar dapat dielakkan kerana jam pada AOD sentiasa bergerak kadang di atas dan kadang di bawah. 

Satu perkara lagi adalah Mi 9T ini disokong Widevine L1, jadi pengguna boleh menonton kandungan Netflix pada resolusi HD Penuh. Tidak seperti Poco F1 yang juga Widevine L1 tetapi masih belum disokong oleh Netflix.  

Jadi Mi 9T ini untuk siapa?

Mi 9T ini disasarkan untuk mereka yang ingin menggunakan peranti kelas atasan pada bajet yang ketat. Prestasi dan pengalaman penggunaan Mi 9T ini sama seperti menggunakan peranti kelas atasan tahun 2018. Ia akan diletakkan dia antara Mi 9 SE dan Mi 9

Mengikut dari harga yang ditawarkan dengan harga RM1,199 buat 6GB + 64GB dan RM1,399 buat 6GB + 128GB, tidak mustahil akan muncul pula bangsa Mi 9T dengan zikir #BaikBeliMi9T.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Bitnami